|
SINOPSIS BUKU ‘ANDA
MAMPU MELAKUKANNYA’
Buku ‘ Anda Mampu
Melakukannya’ adalah sebuahnya hasil karya penulisan
AMAR yang amat bernilai dan bermakna yang
berkonsepkan motivasi kepada semua golongan
khususnya para remaja dan pelajar. Walaupun AMAR
lahir dan dibesarkan dari sebuah keluarga yang amat
sederhana, AMAR berjaya mengharungi alam
persekolahan dan universiti dengan jayanya walaupun
selain sebagai seorang pelajar undang-undang yang
sibuk dengan pelbagai urusan pengajian, beliau juga
mempunyai komitmen lain sebagai seorang penyanyi,
penerbit, penyusun muzik, kartunis dan pengurus
syarikat. Lantas AMAR ingin berkongsi ilmu dan
pengalamannya dari sudut pembahagian masa, teknik
belajar yang berkesan, adab dan tatacara belajar dan
untuk membina sahsiah remaja.
AMAR merupakan
seorang remaja maka beliau amat memahami isi hati
remaja khususnya golongan pelajar dan menulis buku
ini hasil daripada pemerhatian dan pengamatan selaku
bekas pelajar untuk membuat kesimpulan mengenai
permasalahan yang dihadapi oleh pelajar dan remaja
masa kini dan seterusnya memberikan jalan
penyelesaian yang berkesan kepada permasalahan
tersebut.
Mengikut kajian para
motivator, seramai 80% remaja melayu tidak mempunyai
hala tuju hidup. Oleh sebab itu, AMAR ingin
menerangkan dan menyedarkan para remaja dan pelajar
melayu khususnya tentang peri pentingnya setiap
insan perlu mempunyai matlamat dan cita-cita di
dalam diri. AMAR juga memberi dan menerangkan kepada
para remaja dan pelajar tentang cara-cara untuk
mencapai matlamat tersebut.
Ramai orang tidak
sedar bahawa mereka dilahirkan sebagai seorang yang
cemerlang. Akan tetapi, disebabkan mereka dikurung
di dalam dunia pemikiran yang jumud, terbatas dan
diselubungi dengan perasaan tidak yakin pada diri
sendiri lalu mereka tidak berupaya menyelesaikan
masalah yang dihadapi dengan berkesan lantas
menjadikan mereka orang yang tidak cemerlang. Oleh
itu, AMAR juga menulis buku ini bertujuan untuk
membekalkan cara penyelesaian memberi kesedaran dan
mencungkil potensi-potensi terpendam para remaja dan
pelajar khususnya, untuk digilap seterusnya menjadi
insan yang cemerlang di dunia dan akhirat.
Buku ini sarat dengan
ulasan isu semasa dan mehnah tribulasi yang dihadapi
oleh golongan remaja masa kini. Walaupun analisis
dan rumusan yang dibuat oleh AMAR di dalam buku ini
banyak bergantung kepada pengalaman, pemerhatian dan
sedikit ‘research’ yang dijalankan oleh AMAR, ianya
cukup berbaloi kepada mereka yang ingin mengambil
manfaat daripada fikrah AMAR kerana buku ini adalah
hasil dan lahir ikhlas dari jiwa remaja AMAR untuk
disampaikan kepada remaja yang lain dalam usaha
membentuk generasi remaja yang cemerlang, gemilang
dan terbilang .

KATA
PENERBIT
Golongan remaja bercakap dan berfikir dengan bahasa
mereka tersendiri. Oleh kerana remaja merupakan
golongan yang paling ramai menggunakan kemudahan SMS,
maka, wujud satu revolusi baru dalam penggunaan
bahasa dan perkataan slanga yang dipelopori oleh
golongan remaja ini semacam satu “trend” baru dalam
ketamadunan bahasa dan sosio-budaya manusia.
Penulis buku ini,
AMAR adalah seorang remaja yang menulis di dalam
bahasa keremajaannya. Ketika menulis lirik lagu,
beliau meluahkan rasa hati seorang remaja. Ketika
menyanyi di atas pentas, beliau meluahkan emosi
seorang remaja. Ketika berinteraksi dengan peminat,
beliau berkongsi pengataman dan ilmu dengan remaja
lain yang seusia dengannya.
Sekarang AMAR ingin pergi lebih
jauh dengan meluahkan fikiran dan perasaannya
tentang remaja dan alam sekitarnya dari perspektif
seorang penulis remaja.
Kalau pola bahasa yang
digunakan agak sedikit kasar, memang itulah pola
bahasa golongan remaja. Kalau pada butir
perkataannya agak berbaur lucah, memang itu visual
yang berada di dalam kotak fikiran seorang remaja.
Tetapi beliau merupakan seorang
graduan dalam bidang Undang-Undang dari Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Bapanya (seorang
guru) mahu melihat anaknya menggarap kehidupan
Islam. Lingkungan kawan-kawan beliau pula berjalan
di atas landasan keislaman. Malah dalam bidang
hiburan pun beliau memilih genre nasyid untuk
membangunkan seni hiburan bercorak Islam. Maka
pengaruh persekitaran dan orang yang hampir
berdampingan dengan beliau, persepsi dan ruang litup
pemikiran beliau kita anggap sebagai dalam kerangka
pemikiran dan pendidikan Islam.
Lebih istimewa, AMAR bukan
sahaja menulis link dan menyanyi beliau juga
berkebolehan bermain silap mata dan melukis kartun.
Dalam buku ini beliau melakar sendiri setiap
peristiwa yang ditulisnya. Keseluruhan senario di
atas menjadikan buku ini sebagai pilihan terbaik
remaja untuk berkongsi pengalaman. Remaja perlu
mengeluarkan “singa” dari dalam dada masing-masing
dan mendidiknya ke arah motivasi yang tinggi. Singa
adalah tenaga dalaman yang sangat berpotensi untuk
memacu remaja ke arah kecemerlangan. Jangan tunggu
usia dewasa baru mula nak mencipta kejayaan.
Usia remaja merupakan selaan masa yang
paling berharga kerana remaja mempunyai lima
kelebihan:
• Tenaga yang kuat
• Masa yang banyak
• Kelapangan yang panjang
• Kesihatan yang “super”
• Minda yang bersih
Peristiwa yang disorot oleh AMAR di dalam buku
ini boleh menjadi bahan fikir para remaja kerana
situasi dan latar belakang yang sama dengan titik
bengik kehidupan mereka. Peristiwa pahit, maung,
getir, suka, duka, lucu dan yang memalukan mungkin
boleh menjadi bahan motivasi jika diolah dan sudut
pandangan yang positif. Bukan mudah untuk berbuat
demikian. AMAR cuba melakukannya.
Kepada remaja, SELAMAT MEMBACA dan SELAMAT BERFIKIR.
Penerbit,
HAJI WAHARP YUSOF
Pengarah Urusan,
TELAGA BIRU SDN. BHD.
HARGA SEMENANJUNG : RM 19.90
|